Friday, December 29, 2017

Gunung Datuk & Bukit Batu Putih

Gunung Dauk (850m)
2017 kian melabuhkan tirainya. Dalam tahun 2017 ini juga, saya telah berjaya mendaki 4 buah gunung iaitu Gunung Ledang pada bulan April, Gunung Gua Rimau pada bulan September, Gunung Angsi dan Gunung Datuk pada bulan Disember. Oops! Jangan salah sangka yer.. Saya tidak lah mendaki Gunung Angsi dan Datuk pada hari yang sama. Saya masih belum sampai tahap itu lagi. Suatu hari nanti InsyaAllah.... 

Satu minggu selepas mendaki Gunung Angsi, saya telah merancang bersama teman-teman yang lain untuk mendaki Gunung Datuk. Setelah perbincangan dilakukan akhirnya kami bersetuju untuk mendaki Gunung Datuk pada 24 Disember 2017. Kami memulakan perjalanan dari Kulai pada pukul 4 pagi dan tiba di Hutan Lipur Gunung Datuk pada jam 7.00 pagi. Sesampai sahaja di hutan tersebut, telah bersusun kereta. Saya tak pasti pukul berapa mereka sampai dan mula mendaki. Oh ye, perjalanan kami ke Gunung Datuk hanya berpandukan GPS, jadi jangan lah tanya tentang laluan yer!

Puncak Tertinggi Gunung Datuk
Kami mula mencari pejabat ranjer untuk membeli permit. Tapi tak kelihatan mana-mana bangunan yang telah bersedia untuk menerima tetamu. Akhirnya bosan mencari-cari, kami mula mendaki. Pendakian bermula lebih kurang jam 7.20 pagi. Keadaan laluan pendakian mencanak naik... Laluannya pula penuh dengan akar kayu dan batu. Pagi-pagi lagi dah ramai orang mula mendaki di sini. Keadaan trail tidak lah sesukar mana, tetapi mencanak naik. Jadi perlukan kekuatan mental dan fizikal juga. Bagi yang pertama kali atau jarang mendaki, laluan pendakian ini boleh dikategorikan "medium to hard". Oleh kerana minggu sebelumnya saya telah mendaki Angsi dengan keadaan laluan yang hampir sama saya rasa laluan Datuk lebih mudah. Menurut blog yang saya baca pendakian di Gunung Datuk ini memakan masa 2 jam pendakian. Tetapi Alhamdulillah kurang 2 jam kami dapat sampai ke puncak.

Pemandangan di puncak Gunung Datuk sangat cantik dan mendamaikan. Keindahan alam yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Sampai sahaja di puncak hilang semua keletihan mendaki tadi kerana terlalu asyik dengan keindahan alam kurniaan Tuhan ini. Malangnya masih ada golongan yang tidak bertanggungjawab meninggalkan sampah di sana. Setelah puas bergambar, kami mula turun. Ada orang kata perjalanan turun selalunya akan lebih cepat. Namu begitu, bagi saya masa yang diambil untuk naik dan turun adalah sama malah lebih sukar lagi. Akhirnya jam 11 pagi kami sampai di kaki Gunung Datuk.

Hiking Buddies
Ketika di kaki Gunung Datuk di permulaan pendakian ada satu pondok ranjer untuk permit. Oleh sebab ketika naik tadi kami tidak membeli permit, jadi bila turun ranjer memanggil kami untuk menulis maklumat diri dan membuat bayaran permit sebanyak RM5 seorang. Jadi untuk mereka yang mula mendaki seawal pagi, jangan lupa bawa duit RM5 untuk permit kerana perlu membuat bayaran ketika turun nanti.

Setelah puas berehat, kami membuat bayaran parking sebanyak RM3 dan terus meninggalkan Gunung Datuk untuk bergerak ke Port Dickson. Orang kata, alang-alang dah ada di Negeri Sembilan, mendaki la di Bukit Batu Putih pula. Bukit Batu Putih ni berada di dalam kawasan Tanjung Tuan. Bayaran masuk ke Tanjung Tuan ialah RM1 seorang. Di Tanjung Tuan ini terdapat rumah api, tapi kerana masing-masing dah keletihan kami tak naik pun rumah api tersebut. 

Bukit Batu Putih
Kami mula berjalan mencari laluan ke Bukit Batu Putih. Hanya berpandukan blog yang dibaca, kami mencari laluan tersebut. Kami mendaki pada waktu tengah hari, jadi tiada orang yang mendaki ketika itu kecuali kami berempat. Mula-mula rasa tidak yakin dengan laluan yang kami lalu, tapi tawakkal sahaja dan akhirnya kami tiba di Bukit Batu Putih. Laluannya ok, tidak memerlukan masa yang lama hanya kurang 1 jam bergantung pada individu. Sangat sesuai untuk pemula atau beginner. Kami pergi melalui laluan hutan dan tepi pantai manakala balik kami melalui laluan bertar. 

Walaupun keletihan, kami masih mampu mencabar diri untuk mendaki Bukit Batu Putih. Keesokkan harinya masing-masing jalan kengkang kerana kaki dah rabak. Apa pun, ini adalah kenangan indah yang tak mungkin dapat kami lupakan. Semoga masih diberi nafas dan kesihatan yang baik untuk kembali mendaki Gunung Datuk dan Bukit Batu Putih. Kesimpulannya, Gunung Datuk adalah lokasi yang mesti pergi buat mereka yang minat mendaki untuk melihat  keindahan alam!

Monday, December 18, 2017

Pengalaman Mendaki Gunung Angsi

Pada 16 Disember 2017 yang lalu saya telah mendaki Gunung Angsi yang terletak di Hutan Lipur Ulu Bendul Negeri Sembilan. Ketinggian gunung ini hanyalah 825 meter dari aras laut. Terdapat dua laluan untuk mendaki iaitu samada melalui hutan lipur Ulu Bendul atau Bukit Putus. Untuk mendaki, anda perlu membuat bayaran RM5 di pejabat renjer dan menulis butir diri yang diperlukan.

Asalnya kami  ingin mendaki melalui Hutan Lipur Ulu Bendul dan kemudian turun melalui Bukit Putus. Tetapi disebabkan cuaca pada hari sebelumnya yang hujan kami tidak dibenarkan untuk mendaki melalui hutan lipur. Menurut renjer bertugas, mereka bimbang keselamatan pendaki kerana pendaki perlu merentas sungai dan  mereka bimbang akan kedatangan kepala air. Disebabkan itu, kami akhirnya mendaki melalui Bukit Putus dan turun juga melalui Bukit Putus. 


Untuk pengetahuan semua, laluan mendaki di Ulu Bendul lebih panjang berbanding Bukit Putus. Walaupun begitu, laluan Bukit Putus agak mencabar juga. Ini kerana laluannya mencanak lebih 45 darjah. Permulaan mendaki sahaja sudah mencanak. Rasa saya lebih 30 minit pertama mendaki dengan keadaan laluan yang mencanak naik. Kawan saya pula boleh ajak bersembang ketika mendaki kawasan ini. Terasa seperti hendak meletup jantung. Terasa degupan jantung yang sangat kuat ketika itu. Terpaksa berhenti seketika sebelum meneruskan pendakian. 




Sebelum terlupa, keberadaan pacat di gunung ini ada yer.. Tetapi tak banyak. Dan saya antara yang malang diserang spesis ini. Nasib baik seekor sahaja.  Perjalanan mendaki ke puncak pula dikatakan selama 2 jam. Namun begitu ia bergantung kepada individu itu sendiri. Boleh dikatakan 60% pendakian adalah melalui trail yang mencanak naik. Disebabkan cuaca yang hujan pada hari sebelumnya, laluan untuk mendaki agak licin dan berlumpur. Namun kami bersyukur tiada kecedaraan dialami.  Apa pun satu kepuasan apabila telah sampai ke puncak.

Friday, December 15, 2017

Berjalan-jalan di Pontian, Johor

Pada cuti sekolah bulan Disember ini, dua kali saya ke Pontian bawa keluarga melawat kawasan. Di Pontian destinasi pilihan utama saya ialah yang pertama Taman Negara Pulau Kukup. Untuk ke Taman Negara Pulau Kukup ini, kita perlu menaiki bot dengan tambang RM5 untuk pergi dan balik. Kanak-kanak dan warga emas dapat tambang percuma. Untuk dapatkan perkhidmatan bot ke Pulau Kukup, sampai sahaja di jeti tanya sahaja dengan orang-orang yang berada di pintu jeti tuh. Mereka akan bantu untuk dapatkan bot. Perjalanan balik dari Pulau Kukup bot akan berhenti di sangkar ikan. Jadi anda boleh melihat-melihat ikan dalam sangkar. Kalau nak beli pun boleh.



Bayaran masuk untuk Taman Negara Pulau Kukup hanya RM5.30 untuk dewasa. Untuk pelajar dan warga emas ada diskaun. Menurut papan informasi yang dipaparkan, Taman Negara Pulau Kukup adalah anatara hutan paya bakau terbesar di dunia. Mereka telah menyediakan laluan untuk kita berjalan menikmati hutan paya bakau. Untuk mereka yang suka menikmati keindahan alam saya galakkan anda datang ke sini. Pemandangan yang menghijau dan sangat boleh merehatkan minda. Anda juga wajar naik menara pemerhati yang disediakan kerana pemandangan di situ memang sangat menakjubkan! Oh ye, pastikan anda bukan jenis yang sakitkaki atau sakit lutut kerana agak jauh jugak berjalan mengelilingi hutan paya bakau tersebut.


Gambar di atas menara pemerhati Pulau Kukup
Destinasi kedua pilihan saya ialah Tanjung Piai. Bayaran masuk sama juga RM5.30 untuk dewasa dan diskaun diberikan kepada pelajar dan warga emas. Sebenarnya Tanjung Piai dan Taman Negara Pulau Kukup sama sahaja kerana dua-dua destinasi ini adalah untuk menikmati keindahan hutan paya bakau. Keistimewaan Tanjung Piai adalah kerana kedudukannya yang merupakan sempadan benua asia. Jadi anda boleh mengambil gambar di batu sempadan ini. Kalau dibandingkan, saya lebih suka Taman Negara Pulau Kukup kerana pemandangan lebih indah. Mata pun tak sakit melihat sampah-sampah yang terperangkap di bawah akar pokok bakau. Taman Negara Pulau Kukup lebih bersih dan lebih cantik. Tapi saya tetap akan pergi lagi ke dua-dua tempat ini kerana saya amat gemarkan alam.



Destinasi terakhir pilihan saya ialan gerai cendol durian yang terletak di Pekan Nanas arah ke Johor Bahru. Mereka ada pasang kain rentang bertulis cendol durian yang besar. Saya tak teringat pulak untuk mengambil gambar. Selama ini saya bukanlah orang yang suka makan cendol. Biasanya saya tak boleh nak habiskan semangkuk cendol. Tetapi di gerai ini dua kali makan dua kali bersih mangkuk cendol tuh. hehehehe. Keistimewaan cendol ini semestinya ada durian, santan yang pekat, ada sagu rendang, jagung, kacang merah dan cincau serta cendol itu sendiri. Memang sangat sedap. Semangkuk cendol durian berharga RM7. Kalau ada peluang, saya akan ke sana lagi untuk menikmatinya. 

Thursday, November 16, 2017

Testimoni Vivix Shaklee & Carotomax

Yang tengah-tengah itu ibu saya. Baru-baru ini kami
berajalan di Tanjung Piai dan Taman Negara Pulau Kukup.
Saya masih mempunyai seorang ibu yang berumur 72 tahun (2017). Ibu saya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi. Setiap hari dia akan mengambil sejumlah pil yang agak banyak dari klinik kesihatan kerajaan untuk mengawal kandungan gula dalam darah dan juga untuk mengawal tekanan darah. Disebabkan agak terlalu lama mengambil pil-pil tersebut, doktor menasihatkan ibu saya untuk mengambil suntikan insulin. Katanya untuk melindungi buah pinggang dan ibu saya bersetuju kerana tidak mahu menyusahkan anak-anak membawanya ke hospital 3 kali seminggu untuk cuci darah. Dia tahu kesusahan itu apabila melihat kawan-kawannya yang mempunyai masalah sama.

Selain itu, saya melihat kesihatan mata ibu saya semakin menurun. Dia sudah tidak dapat
melihat dengan baik. Kalau di dapur selalu meraba-raba untuk mencari barang. Kalau berjalan dengan saya, dia tidak akan pernah berjalan bersebelahan dengan saya. Dia akan mengikut saya dari belakang. Mula-mula saya tak faham sebab ibu saya bukan jenis menceritakan sangat tentang masalah penglihatan dia. Mungkin dia pun tak sedar tentang masalah matanya kerana bagi dia mungkin disebabkan kuasa cermin mata yang dah tak dapat menampung rabun mata yang dialaminya.

Gambar Ihsan google
Hari demi hari saya melihat kesihatan ibu saya semakin menurun. Selalu lemah badan dan tidak selera makan. Jadi, saya membuat keputusan untuk membelikan vivix buat dia. Alhamdulillah selepas mengambil vivix dia mula ada selera makan dan nampak lebih bertenaga. Dia boleh bercucuk tanam semula. Tetapi masalah mata masih ada. Jadi saya mencari-cari testimoni dan kebaikan carotomax. Melalui pembacaan saya, ada yang boleh melihat semula dengan baik melalui pengambilan carotomax. Kini, mak saya mengambil vivix dan carotomax secara konsisten dan sudah hampir 3 bulan ibu saya mengambilnya.

Apa yang saya dapat perhatikan, kalau dulu ibu saya dikehendaki datang ke klinik kesihatan kerajaan setiap bulan untuk dipantau kandungan gula dan tekanan darah, tetapi kini ibu saya hanya pergi ke klini kesihatan kerajaan 2 bulan sekali. Namun begitu, ibu saya dikehendaki untuk memeriksa kandungan gula dalam darah setiap minggu di klinik desa sahaja. Melihat kepada bacaan kandungan gulanya, saya melihat kandungan gulanya kekal dalam julat 6 hingga 8. Untuk pengetahuan semua, ibu saya tidak pantang dalam pengambilan makanan. 

Gambar Ihsan Google
Selain itu, dia kerap mengatakan matanya sering berair dan mengeluarkan cecair yang melekit. Dan yang lebih menggembirakan, dia semakin dapat melihat dengan baik. Ada rakan-rakannya yang menegur melihat perubahan positif ibu saya yang kini sudah boleh mengaji kerana sudah dapat melihat. Saya juga menyaksikan sendiri apabila dia membaca tanda harga ketika kami berkunjung ke tesco. Selalunya, dia akan bertanya kepada saya berapa harga tetapi kini dia boleh membaca tanda harga itu sendiri tanpa bantuan saya. Syukur kepada tuhan. Saya berharap kesihatan ibu saya akan bertambah baik lagi selepas ini. Doakan dia yer!

Terima kasih sudi membaca!
 

Tuesday, October 3, 2017

Pengalaman mendaki Gunung Gua Rimau

Pada 30 September 2017 yang lalu, saya dan kawan-kawan sengaja mencari penyakit dengan mendaki Gunung Gua Rimau di Kluang Johor. Untuk pengetahuan semua, Gunung Gua Rimau ini terletak di Felda Ulu Dengar. Gunung yang popular di sini ialah Gunung Belumut. Disebabkan itu, masih ramai yang tidak sedar tentang kewujudan Gunung Gua Rimau dan Gua Cemendong. Kedudukan ketiga-tiga gunung ini bersebelahan antara satu sama lain.

Pacuan empat roda yang kami naiki

Apa yang menariknya, untuk memulakan pendakian kami perlu menaiki pacuan empat roda melalui kebun kelapa sawit dan menyeberangi jambatan kayu sebelum tiba ke kawasan permulaan pendakian. Sungguh saya sangat teruja dengan pengalaman baru ini. Oh ya! sebelum terlupa, untuk mendaki gunung ini, anda perlukan pemandu arah yang berpengalaman serta permit untuk mendaki. Untuk itu anda boleh hubungi pejabat hutan daerah Kluang. Kosnya saya tak pasti sebab saya hanya mengikut kumpulan staf Hospital Kota Tinggi dengan membuat bayaran RM80 untuk penginapan, makan dan urusan pendakian.



Ketinggian gunung ini ialah 889 meter dengan jarak perjalanan mendaki pergi dan balik lebih kurang 10km. Laluan untuk mendaki masih kurang jelas, disebabkan itu anda memerlukan pemandu arah. Keadaan laluan juga penuh dengan pokok-pokok dan perlu ditebas. Keadaan laluan juga tidak begitu mencanak hanya landai dan berbukit sedikit. Pacat juga agak banyak dan gemuk-gemuk belaka (sangat mengerikan). Tapi semakin anda ke puncak semakin kurang pacat. Saya pula secara peribadi telah diserang 4 ekor pacat. huhuhuhu.


Tiada checkpoint khas ketika anda  mendaki gunung ini. Hanya ada satu kawasan berbatu yang menjadi spot untuk bergambar kerana pemandangan yang sangat cantik di situ. Lebih kurang 5 ke 10 minit sebelum sampai ke puncak. Di gunung ini terdapat kamera yang dipasang oleh pihak perhilitan untuk mengesan keberadaan binatang buas. Ketika mendaki kami terjumpa tahi harimau. Ini seperti yang diberitahu pemandu arah. Tidak sangka pula rakan sekumpulan kami terlihat harimau secara live ketika sedang turun. Saya pula secara live melihat tapir yang sangat besar berlari melintas laluan kami ketika sedang turun. Agak menyeramkan juga.


Namun begitu, kami bersyukur kerana kami selamat naik dan turun gunung tersebut. Apa pun ini adalah pengalaman yang sangat berharga buat saya dan rakan-rakan yang lain
!




Thursday, September 7, 2017

Testimoni Set Radiant 4 Shaklee

Salam Sejahtera semua!


Sebelum saya ceritakan pengalaman saya, untuk mereka yang tidak tahu set radiant 4 adalah seperti dalam gambar di atas. Yang mana set ini mengandungi ESP, Vitamin C, GLA complex dan Collagen Powder. Pada bulan ini iaitu September 2017, Shaklee memberi voucher tunai bagi setiap pembelian set ini. 

Sebelum set ini diperkenalkan, saya mula berjinak-jinak dengan produk shaklee pada hujung bulan Julai 2017. Mulanya saya ambil Vitamin B, C dan Vita-plus untuk menangani masalah keletihan yang disebabkan kurang makan dan tidak cukup nutrien dalam badan.

Kemudian 13 Ogos saya mula membeli ESP dan mengamalkannya setiap pagi. Saya hanya mengambil ESP 1 sudu sehari pada waktu pagi sebelum sarapan. Asalnya saya beli ESP sebab untuk memudahkan saya mengambil supplement yang saya beli sebelum ini.  Ini kerana saya agak malas untuk sediakan sarapan pagi. 

Hasil pembacaan saya melalui google, saya tertarik dengan set kecantikan shaklee. Jadi pada 24 Ogos saya order collagen powder dan vitamin E. Esoknya dapat saya terus amalkan. Asalnya saya mengambil collagen powder pada waktu malam sebelum tidur. Tetapi, bila ambil malam esok paginya tekak saya akan berasa perit seperti kurang air. Disebabkan itu, saya ambil collagen powder pada waktu pagi dengan mencampurkan collagen powder dengan esp. Oh yer, saya tidak mengambil setiap hari collagen tu. Disebabkan harga yang mahal saya mengambil collagen selang sehari. Jadi satu kotak tu boleh tahan untuk 30 hari. Satu kotak hanya mengadungi 15 sachet collagen powder. 

Masa saya ambil collagen ini adalah waktu cuti sekolah dan Raya Haji. Naik sahaja cuti, kawan-kawan tegur muka saya nampak lain. Katanya makin berseri. Siap ada yang usik dah ada seseorang ke? Anak murid plak tegur kata cikgu nampak glowing. Saya tidak menyangka begitu cepat nampak perbezaannya kerana saya lihat dicermin muka saya nampak seperti biasa je. Alhamdulillah saya serasi dengan produk ini. 

Jadi saya rasa tak rugi untuk awak-awak semua mencuba. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri menggunakannya. Sebarang persoalan boleh lah gunakan ruangan komen yer! 

Jumpa lagi di next posting! 



Friday, September 1, 2017

Jahit Leher Baju Kurung Menggunakan Kun

Salam kemerdekaan ke 60 tahun buat semua rakyat Malaysia..

Sebelum ini saya pernah buat posting bertajuk Kemasan Leher Menggunakan Kun. Kali ini saya ingin tunjuk cara yang telah ditambah baik untuk mendapatkan jahitan leher yang lebih kemas dan kukuh. 


Di atas adalah gambar baju yang telah ditebuk bahagian leher dan juga kun yang akan digunakan. 


Mula-mula jahit bahagian lipatan pada kun. Jahit pada sebelah lipatan sahaja.


Kemudian lekatkan kun pada leher guna bahagian lipatan yang tidak berjahit. Tak perlu buka lipatan tersebut. Tindih sahaja.. Mulakan pada bahagian lurus.


Seterusnya jahit kun pada bahagian 'V'. Cantumkan kedua2 kun seperti dalam gambar.


Kemudian jangan lupa gunting sedikit dibahagian leher. Jangan sampai tergunting jahitan yer! Jarakkan gunting dalam 1/2 inchi. 


Ok dah boleh jahit.. Lipat kun ke dalam dan jahit. Mulakan dari bahagian tengah belakang leher.


Ok ini rupanya setelah setengah leher dijahit. Teruskan jahit bahagian melengkung lagi sebelah. Macam biasa mulakan dari belakang leher. Kemudian jahit bahagian lurus iaitu bahagian 'V'


Ok ini lah hasilnya selepas siap dijahit.


Yang ini pula di bahagian dalam.. Nampak lebih kemas.. 


Ini pula setelah dipasang butang
Harap dapat membantu! Selamat mencuba!


Monday, August 21, 2017

Testimoni ESP Shaklee


Salam sejahtera semua..

Posting kali ini saya ingin berkongsi pengalaman menggunakan produk shaklee. Mana tahu ia boleh dijadikan rujukan dan panduan kepada bakal pengguna yang lain. 

Asalnya saya mempunyai masalah cepat rasa letih. Biasanya setelah balik dari kerja saya tidak boleh buat apa-apa pekerjaan dah. Apa yang saya buat ialah tidur. Oleh sebab saya bekerja sesi petang, saya akan sampai rumah waktu maghrib. Dalam pukul 9 malam macam tu saya akan terus tidur kerana badan rasa tidak larat untuk membuat apa-apa kerja. Mata otomatik akan rasa mengantuk. Tetapi saya melihat kawan saya, dia tidak seperti saya. Selepas kerja mereka masih boleh stay up sampai tengah malam untuk menyiapkan kerja.

Disebabkan itu, saya mula mencari supplement untuk memberi saya tenaga yang berkekalan. Setelah google sana sini kebanyakkan produk yang disarankan pengguna lain ialah produk dari shaklee. Jadi saya menceritakan masalah saya pada seorang pengedar shaklee nih. Dia kata, sebab utama saya cepat keletihan kerana faktor pemakanan yang tidak cukup nutrien yang diperlukan oleh badan. Bila fikir balik memang betul pun. Sebab saya makan tidak menentu. Kalau rajin, saya akan masak untuk makan. Kalau malas, samada saya akan makan maggi jer atau tak makan langsung. Sanggup berlapar sebab malas nak masak dan malas nak keluar rumah cari makanan. Kalau nak kata pemakanan sihat tu memang tak la.. 

Jadi, akak shaklee nih sarankan saya ambil vitalea, vitamin c dan b complex. Saya bayar Rm250 dan tambah dalam RM30++ untuk jadi ahli. Minggu pertama saya makan, saya alami sakit perut yang amat dahsyat. Perut saya memulas dan saya akan duduk dalam tandas untuk masa yang lama. Tapi syukur ia hanya seminggu sahaja. Selepas itu saya kembali normal. Mungkin itu lah yang dipanggil "healing process". Badan pula rasa lebih ringan.

Tetapi saya ada masalah lain iaitu untuk menyediakan sarapan pagi. Supplement tersebut perlu diambil selepas sarapan. Jadi saya terbaca tentang ESP. Dalam hati bagus juga, saya tak perlu sediakan sarapan pagi lagi hanya perlu bancuh ESP sahaja. Jadi saya beli ESP pula. Sekarang setiap pagi saya bancuh ESP then terus telan supplement yang lain. 

Apa yang saya perasan setelah makan ESP dan supplement nih saya  sudah tidak ada nafsu untuk makan maggi lagi. Kalau dulu, setiap minggu pasti 1-2 bungkus maggi saya telan. Yer, saya tahu tidak baik untuk badan, tetapi bila tengok drama korea dan tengok mereka makan ramen terus saya nak masak maggi juga. Kadang-kadang lebih dari 2 bungkus maggi saya makan dalam seminggu.  Pernah juga saya sengaja tidak menyimpan stok maggi di dapur dengan harapan saya tidak akan makan maggi lagi. Tetapi saya tak mampu bertahan lama pun. Saya pasti kalah. Sekarang bila saya lapar ditengah malam saya akan bancuh ESP sahaja. Tetapi sejak makan ESP ni saya jarang rasa lapar. Nafsu kepada maggi pun dah berkurang. Walaupun lapar, saya tak teringin pun nak makan maggi. 

Kini, saya rasa lebih sihat dan bertenaga. Selepas balik dari kerja saya masih boleh menjahit dan update blog hingga tengah malam. Syukur.. Dari segi kesan kepada kulit dan sebagainya saya tak nampak lagi sebab saya baru consume selama 1 minggu untuk ESP dan 2 minggu untuk supplement. Kebaikan atau faedah lain produk nih korang boleh google je.. saya hanya berkongsi pengalaman saya sahaja. Semoga ianya bermanfaat

Sekian dahulu dari saya.. Terima Kasih sudi berkunjung dan membaca!

p/s: kalau korang nak mencuba dan membeli produk shaklee nih boleh juga berhubung dengan saya. Komen sahaja di bawah, saya akan reply nanti. tq

   

Friday, July 21, 2017

Kasut Dr. martens untuk dijual

Hai, entry kali ini saya ingin iklankan kasut Mary Jane Lynne dari Dr. Martens..

Harga: RM250
Postage: FREE semenanjung Malaysia sahaja
Saiz: UK4
Origin: Dr. Martens Uk
Condition: NEW & Tak pernah pakai kasut dengan erti kata sebenar..
 Hanya pakai untuk mencuba sahaja
Sebab jual: Kasut ini tidak sesuai dengan jiwa saya
Cara beli: Hubungi saya melalui e-mail di nurwadad@gmail.com

Ini kasutnya.. Gambar dari internet..


Yang ini gambar kasut yang sebenar dalam simpanan saya.. Pandangan sisi..


Pandangan atas


Gambar tapak kasut diambil bagi membuktikan kasut ini tidak pernah dipakai


Yg ini plak gambar details pada kotak kasut..



Tuesday, June 13, 2017

Laporan Kem Jelajah Alam - Taman Hutan Lagenda, Gunung Ledang

27 April 2017
Khamis
3.50pm
Kami pada jam 3.50 petang dan telah tiba di Taman Hutan Lagenda pada jam 7.00 petang. Saya rasa bersyukur perjalanan kami dipermudahkan.

7.00 pm
Kami mengadakan sesi fotografi sebagai kenangan dan saya berasa amat teruja . Setelah itu, kami daftar masuk ke dalam bilik untuk berehat dan membersihkan diri.

8.00 pm
Kami  dijamu dengan makan malam yang enak.

9.00 pm
Kami telah diberi taklimat tentang ilmu alam, keselamatan semasa mendaki dan prosedur pendakian oleh En. Moi. Beliau juga menceritakan pengalaman sepanjang berkerja sebagai pemandu arah di Gunung Ledang. Saya berasa gementar dan tidak sabar untuk menguji kekuatan mental dan fizikal untuk menawan Gunung Ledang.   

11.00 pm
Sebelum tidur cikgu mengarahkan kami untuk minum air mineral sebanyak mungkin sebagai persediaan untuk mendaki pada hari esok.
28 April 2017
Jumaat
7.00 am
Kami memulakan hari dengan sarapan yang enak.

7.30 am
Kami menyerahkan borang tagging barang kepada guru dan membuat sedikit rengangan yang diketuai oleh En.  Amir

8.00 am
Kami mula mendaki melalui laluan yang dipanggil Tangga Mahligai.

8.20 am
Kami tiba di CP1 iaitu Bukit Semput dan berehat sebentar.

8.25 am
Kami meneruskan perjalanan dan tiba di CP2 iaitu Hentian Meranti pada jam 8.55am. Perjalanan diteruskan ke Batu Orkid dan Sungai Segitiga.

11.10 am
Kami tiba di CP5 iaitu Sungai Segitiga dan berehat. Di sini kami mendapatkan sumber air yang bersih untuk minum dan dijadikan bekalan.

11.50am
Kami tiba di laluan KFC. Laluan ini amat mencabar dan benar-benar  menguji ketahanan mental dan fizikal. Saya berasa amat letih namun keazaman yang kuat membantu saya berjaya melaluinya

12.20 am
Kami tiba di CP6 iaitu Gua Kambing dan perjalanan diteruskan ke Batu Hampar.

2.30 pm
Setelah melepasi Batu hampar, Taman Bonsai dan Bukit Botak akhirnya kami tiba di Puncak Mahligai iaitu Puncak Gunung Ledang. Saya berasa amat letih namun tetap bangga dan gembira kerana saya akhirnya berjaya sampai ke puncak. Kami makan tengahari sambil menikmati pemandangan dan mengadakan sesi fotografi sebagai kenang-kenangan.

3.45 pm
Kami turun dari Puncak Mahligai dan berhenti di Kem Senget untuk solat. Perjalanan turun mengambil masa 4 jam.

7.30 pm
Akhirnya kami tiba di base camp. Setelah sampai kami menyerahkan borang tagging dan membersihkan diri serta berehat.

8.30 pm
Kami turun ke ruang makan untuk menikmati makan malam yang enak.

9.30 pm
Kami berehat dan bercerita pengalaman mendaki bersama rakan-rakan. Walaupun pendakian ini amat meletihkan, namun ia memberi semangat juang yang tinggi untuk meneruskan hingga ke puncak. Saya berasa amat bangga kerana berjaya mengharunginya.  
29 April 2017
Sabtu
7.30 am
Kami menikmat sarapan pagi yang disediakan.

8.00 am
Kami menikmati keindahan alam yang terdapat di sekitar Taman Hutan Lagenda. Kami juga sempat menikmati kesejukan air terjun. Seterusnya kami sempat meluangkan masa di galeri yang disediakan.

1.00 pm
Kami bertolak pulang ke sekolah dan tiba pada jam 3.45 petang. Pengalaman di Taman Hutan Lagenda adalah satu pengalaman yang amat berharga yang tidak akan saya lupakan. Terima kasih cikgu kerana menyediakan peluang kepada saya untuk merasainya.

Monday, May 1, 2017

Kem Jelajah Alam Gunung Ledang

Syukur, akhirnya aktiviti yang dirancang telah selamat dijalankan. Pada 27 April 2017 jam 3.50 petang kami bertolak ke Taman Hutan Lagenda, Gunung Ledang. Kami sampai pada jam 7.00 malam. Malam itu kami diberi taklimat tentang keselamatan dan prosedur pendakian oleh En. Moi. En Moi juga memberi sedikit motivasi kepada kami untuk memastikan misi menjejak ke puncak Gunung Ledang dapat kami realisasikan.

Pada pagi esoknya, 28 April 2017 jam 7.30 pagi kami berkumpul di hadapan Taman Hutan Lagenda. Kami menyerahkan borang taging barang yang akan di bawa masuk ke dalam hutan. Kemudian kami membuat sedikit senaman regangan yang diketuai oleh En. Amir. Tepat jam 8.00 pagi kami memulakan pendakian. 

Pada jam 8.20 pagi, kami sampai di check point pertama iaitu Bukit Semput selepas melalui tangga mahligai. Selepas berehat 10 minit, kami meneruskan ke checkpoint yang kedua iaitu Hentian Meranti. Kami tiba di CP2 pada jam 8.55 pagi. Jam 9.05 pagi kami teruskan pendakian dan tiba di CP3 iaitu Batu Orkid pada jam 9.40 pagi. Berehat sebentar dan kami teruskan lagi pendakian. Pada jam 11.10 pagi kami tiba di  CP5 iaitu Sungai Segitiga. Di sini kami mendapatkan sumber air sebelum meneruskan pendakian.

Lebih kurang 40 minit perjalanan dari CP5 akhirnya kami tiba di laluan Killing Fitness Center atau lebih dikenali sebagai K.F.C. Laluan ini sangat mencabar kekuatan mental dan fizikal. Namun begitu, kami berjaya mengharunginya dan akhirnya pada jam 12.20 tengahari kami tiba di CP6 iaitu Gua Kambing. Malangnya laluan Gua Kambing ditutup. Pendakian diteruskan ke Batu Hampar. Pada masa ini jam sudah menunjukkan pukul 1.00 petang. Kami meneruskan pendakian dan melalui Taman Bonsai dan Bukit Botak. Akhirnya pada jam 2.30 petang kami tiba di Puncak Mahligai iaitu Puncak Gunung Ledang. Satu perasaan puas yang tak dapat digambarkan dengan kata-kata.  

Setelah puas menikmati pemandangan, menikmati makan tengahari di puncak dan mengambil gambar, jam 3.45 petang kami mula turun dari Puncak Mahligai. Perjalanan turun dijangka mengambil masa selama 4 jam. Kami hanya berehat seketika di Kem Senget untuk solat. Perjalanan diteruskan sehingga tiba di base camp. Jam 7.30 petang semua telah pun sampai di base camp dan membuat semakan borang taging dengan barang yang dibawa dan kembali ke dorm untuk membersihkan diri sebelum turun semula untuk makan malam.

Pendakian kali ini sangat mencabar dan sangat bermakna buat kami. Keadaan laluan pendakian yang basah dan licin akibat daripada keadaan cuaca yang tak menentu amat menyukarkan kami. Sepanjang perjalanan pula kami dibasahi dengan hujan rahmat. Beberapa minit tiba di puncak hujan turun dengan lebatnya dan kami terpaksa menikmati makan tengahari berbumbungkan ponco yang dibawa. Tidak mustahil air hujan menjadi sebahagian menu makan tengahari kami. Apa pun ini adalah satu pengalaman yang amat berharga yang sangat bermakna buat kami. 
 
Syukur semuanya berjalan lancar. Hari seterusnya 29 April 2017, kami menghabiskan masa menikmati keindahan alam di sekitar Taman Hutan Lagenda. Kami juga sempat menikmati kesejukan air terjun di sana dan menghabiskan masa di galeri yang disediakan buat pengunjung. Jam 1.00 petang kami bertolak pulang ke sekolah dan jam 3.45 petang kami tiba di sekolah dan bergerak pulang ke rumah masing-masing.

Tiada yang dapat diucapkan selain ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan Kem Jelajah Alam secara langsung mahupun tidak. Semoga suatu masa yang lain, kami diberi peluang lagi untuk menikmati keindahan alam di tempat yang lain pula.

Sekian sahaja!

Much Love,
Ketua Guru Penasihat
Rakan Muda
SMKBP, Kulai