Friday, December 29, 2017

Gunung Datuk & Bukit Batu Putih

Gunung Dauk (850m)
2017 kian melabuhkan tirainya. Dalam tahun 2017 ini juga, saya telah berjaya mendaki 4 buah gunung iaitu Gunung Ledang pada bulan April, Gunung Gua Rimau pada bulan September, Gunung Angsi dan Gunung Datuk pada bulan Disember. Oops! Jangan salah sangka yer.. Saya tidak lah mendaki Gunung Angsi dan Datuk pada hari yang sama. Saya masih belum sampai tahap itu lagi. Suatu hari nanti InsyaAllah.... 

Satu minggu selepas mendaki Gunung Angsi, saya telah merancang bersama teman-teman yang lain untuk mendaki Gunung Datuk. Setelah perbincangan dilakukan akhirnya kami bersetuju untuk mendaki Gunung Datuk pada 24 Disember 2017. Kami memulakan perjalanan dari Kulai pada pukul 4 pagi dan tiba di Hutan Lipur Gunung Datuk pada jam 7.00 pagi. Sesampai sahaja di hutan tersebut, telah bersusun kereta. Saya tak pasti pukul berapa mereka sampai dan mula mendaki. Oh ye, perjalanan kami ke Gunung Datuk hanya berpandukan GPS, jadi jangan lah tanya tentang laluan yer!

Puncak Tertinggi Gunung Datuk
Kami mula mencari pejabat ranjer untuk membeli permit. Tapi tak kelihatan mana-mana bangunan yang telah bersedia untuk menerima tetamu. Akhirnya bosan mencari-cari, kami mula mendaki. Pendakian bermula lebih kurang jam 7.20 pagi. Keadaan laluan pendakian mencanak naik... Laluannya pula penuh dengan akar kayu dan batu. Pagi-pagi lagi dah ramai orang mula mendaki di sini. Keadaan trail tidak lah sesukar mana, tetapi mencanak naik. Jadi perlukan kekuatan mental dan fizikal juga. Bagi yang pertama kali atau jarang mendaki, laluan pendakian ini boleh dikategorikan "medium to hard". Oleh kerana minggu sebelumnya saya telah mendaki Angsi dengan keadaan laluan yang hampir sama saya rasa laluan Datuk lebih mudah. Menurut blog yang saya baca pendakian di Gunung Datuk ini memakan masa 2 jam pendakian. Tetapi Alhamdulillah kurang 2 jam kami dapat sampai ke puncak.

Pemandangan di puncak Gunung Datuk sangat cantik dan mendamaikan. Keindahan alam yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Sampai sahaja di puncak hilang semua keletihan mendaki tadi kerana terlalu asyik dengan keindahan alam kurniaan Tuhan ini. Malangnya masih ada golongan yang tidak bertanggungjawab meninggalkan sampah di sana. Setelah puas bergambar, kami mula turun. Ada orang kata perjalanan turun selalunya akan lebih cepat. Namu begitu, bagi saya masa yang diambil untuk naik dan turun adalah sama malah lebih sukar lagi. Akhirnya jam 11 pagi kami sampai di kaki Gunung Datuk.

Hiking Buddies
Ketika di kaki Gunung Datuk di permulaan pendakian ada satu pondok ranjer untuk permit. Oleh sebab ketika naik tadi kami tidak membeli permit, jadi bila turun ranjer memanggil kami untuk menulis maklumat diri dan membuat bayaran permit sebanyak RM5 seorang. Jadi untuk mereka yang mula mendaki seawal pagi, jangan lupa bawa duit RM5 untuk permit kerana perlu membuat bayaran ketika turun nanti.

Setelah puas berehat, kami membuat bayaran parking sebanyak RM3 dan terus meninggalkan Gunung Datuk untuk bergerak ke Port Dickson. Orang kata, alang-alang dah ada di Negeri Sembilan, mendaki la di Bukit Batu Putih pula. Bukit Batu Putih ni berada di dalam kawasan Tanjung Tuan. Bayaran masuk ke Tanjung Tuan ialah RM1 seorang. Di Tanjung Tuan ini terdapat rumah api, tapi kerana masing-masing dah keletihan kami tak naik pun rumah api tersebut. 

Bukit Batu Putih
Kami mula berjalan mencari laluan ke Bukit Batu Putih. Hanya berpandukan blog yang dibaca, kami mencari laluan tersebut. Kami mendaki pada waktu tengah hari, jadi tiada orang yang mendaki ketika itu kecuali kami berempat. Mula-mula rasa tidak yakin dengan laluan yang kami lalu, tapi tawakkal sahaja dan akhirnya kami tiba di Bukit Batu Putih. Laluannya ok, tidak memerlukan masa yang lama hanya kurang 1 jam bergantung pada individu. Sangat sesuai untuk pemula atau beginner. Kami pergi melalui laluan hutan dan tepi pantai manakala balik kami melalui laluan bertar. 

Walaupun keletihan, kami masih mampu mencabar diri untuk mendaki Bukit Batu Putih. Keesokkan harinya masing-masing jalan kengkang kerana kaki dah rabak. Apa pun, ini adalah kenangan indah yang tak mungkin dapat kami lupakan. Semoga masih diberi nafas dan kesihatan yang baik untuk kembali mendaki Gunung Datuk dan Bukit Batu Putih. Kesimpulannya, Gunung Datuk adalah lokasi yang mesti pergi buat mereka yang minat mendaki untuk melihat  keindahan alam!

No comments :

Post a Comment