Tuesday, October 3, 2017

Pengalaman mendaki Gunung Gua Rimau

Pada 30 September 2017 yang lalu, saya dan kawan-kawan sengaja mencari penyakit dengan mendaki Gunung Gua Rimau di Kluang Johor. Untuk pengetahuan semua, Gunung Gua Rimau ini terletak di Felda Ulu Dengar. Gunung yang popular di sini ialah Gunung Belumut. Disebabkan itu, masih ramai yang tidak sedar tentang kewujudan Gunung Gua Rimau dan Gua Cemendong. Kedudukan ketiga-tiga gunung ini bersebelahan antara satu sama lain.

Pacuan empat roda yang kami naiki

Apa yang menariknya, untuk memulakan pendakian kami perlu menaiki pacuan empat roda melalui kebun kelapa sawit dan menyeberangi jambatan kayu sebelum tiba ke kawasan permulaan pendakian. Sungguh saya sangat teruja dengan pengalaman baru ini. Oh ya! sebelum terlupa, untuk mendaki gunung ini, anda perlukan pemandu arah yang berpengalaman serta permit untuk mendaki. Untuk itu anda boleh hubungi pejabat hutan daerah Kluang. Kosnya saya tak pasti sebab saya hanya mengikut kumpulan staf Hospital Kota Tinggi dengan membuat bayaran RM80 untuk penginapan, makan dan urusan pendakian.



Ketinggian gunung ini ialah 889 meter dengan jarak perjalanan mendaki pergi dan balik lebih kurang 10km. Laluan untuk mendaki masih kurang jelas, disebabkan itu anda memerlukan pemandu arah. Keadaan laluan juga penuh dengan pokok-pokok dan perlu ditebas. Keadaan laluan juga tidak begitu mencanak hanya landai dan berbukit sedikit. Pacat juga agak banyak dan gemuk-gemuk belaka (sangat mengerikan). Tapi semakin anda ke puncak semakin kurang pacat. Saya pula secara peribadi telah diserang 4 ekor pacat. huhuhuhu.


Tiada checkpoint khas ketika anda  mendaki gunung ini. Hanya ada satu kawasan berbatu yang menjadi spot untuk bergambar kerana pemandangan yang sangat cantik di situ. Lebih kurang 5 ke 10 minit sebelum sampai ke puncak. Di gunung ini terdapat kamera yang dipasang oleh pihak perhilitan untuk mengesan keberadaan binatang buas. Ketika mendaki kami terjumpa tahi harimau. Ini seperti yang diberitahu pemandu arah. Tidak sangka pula rakan sekumpulan kami terlihat harimau secara live ketika sedang turun. Saya pula secara live melihat tapir yang sangat besar berlari melintas laluan kami ketika sedang turun. Agak menyeramkan juga.


Namun begitu, kami bersyukur kerana kami selamat naik dan turun gunung tersebut. Apa pun ini adalah pengalaman yang sangat berharga buat saya dan rakan-rakan yang lain
!