Pada 16 Disember 2017 yang lalu saya telah mendaki Gunung Angsi yang terletak di Hutan Lipur Ulu Bendul Negeri Sembilan. Ketinggian gunung ini hanyalah 825 meter dari aras laut. Terdapat dua laluan untuk mendaki iaitu samada melalui hutan lipur Ulu Bendul atau Bukit Putus. Untuk mendaki, anda perlu membuat bayaran RM5 di pejabat renjer dan menulis butir diri yang diperlukan.
Asalnya kami ingin mendaki melalui Hutan Lipur Ulu Bendul dan kemudian turun melalui Bukit Putus. Tetapi disebabkan cuaca pada hari sebelumnya yang hujan kami tidak dibenarkan untuk mendaki melalui hutan lipur. Menurut renjer bertugas, mereka bimbang keselamatan pendaki kerana pendaki perlu merentas sungai dan mereka bimbang akan kedatangan kepala air. Disebabkan itu, kami akhirnya mendaki melalui Bukit Putus dan turun juga melalui Bukit Putus.
Untuk pengetahuan semua, laluan mendaki di Ulu Bendul lebih panjang berbanding Bukit Putus. Walaupun begitu, laluan Bukit Putus agak mencabar juga. Ini kerana laluannya mencanak lebih 45 darjah. Permulaan mendaki sahaja sudah mencanak. Rasa saya lebih 30 minit pertama mendaki dengan keadaan laluan yang mencanak naik. Kawan saya pula boleh ajak bersembang ketika mendaki kawasan ini. Terasa seperti hendak meletup jantung. Terasa degupan jantung yang sangat kuat ketika itu. Terpaksa berhenti seketika sebelum meneruskan pendakian.
No comments :
Post a Comment