Saturday, April 28, 2018

Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani & Kejurulatihan Sukan (IDPESC)

Alhamdulillah setelah hampir 4 bulan belajar, tamat sudah kursus pengajian di peringkat diploma. Kursus ini sebenarnya dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan dilaksana oleh USSA Sport Academy. Syukur sangat-sangat diberi peluang untuk menyertai kursus ini. Kursus ini berlangsung selama 10 minggu bermula 20 Januari dan berakhir pada 19 April yang lalu.

Untuk makluman, terdapat 10 modul pembelajaran yang perlu dibereskan selama 10 minggu. Satu modul dilaksanakan selama satu minggu dan diakhir minggu peserta perlu menduduki peperiksaan bagi modul tersebut. Setiap modul juga mempunyai tugasan di dalam kelas dan di luar kelas. Tugasan di dalam kelas berupa perbincangan kumpulan dan pembentangan manakala tugasan di luar kelas adalah tugasan berbentuk penulisan yang perlu dihantar di laman web USSA untuk dinilai.

Secara keseluruhannya, kursus ini sangat menarik, santai dan menggembirakan. Setiap pagi, kami akan melakukan senaman dan latihan selama dua jam sebelum kelas dimulakan. Sepanjang kursus ini kami dapat berkongsi ilmu dan pengetahuan tentang teknik pengajaran dan pembelajaran tentang satu-satu jenis sukan. Peserta-peserta kursus terdiri daripada jurulatih sukan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan ada juga jurulatih sukan berlesen yang bertugas di sekolah sukan. Masing-masing tidak kedekut berkongsi teknik dalam latihan sukan. 

Selain perkongsian ilmu dari masa ke semasa, atas minat yang mendalam peserta kursus ini dalam bidang sukan, pelbagai pertandingan telah diadakan. Walaupun pertandingan yang diadakan di luar waktu kursus, setiap peserta menunjukkan komitmen yang tinggi dengan menyertai setiap acara yang diadakan. Aktiviti rekreasi juga turut diadakan bagi yang meminati aktiviti mendaki gunung. Secara tidak langsung, aktiviti-aktiviti yang dilaksana ini telah dapat mengukuhkan ukhuwah antara kami. 

10 minggu kelas pun sudah berakhir, peperiksaan telah diduduki, tugasan pun sudah dihantar malah keputusan pun telah diperoleh. Hanya menanti majlis konvokesyen yang katanya akan diadakan pada bulan Oktober nanti di Kuala Lumpur. Tidak sabar rasanya untuk bertemu rakan-rakan peserta kursus di majlis konvokesyen itu nanti. Harap-harap semua peserta berjaya mendapat Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani dan Kejurulatihan Sukan ini! Semoga berjumpa lagi!

2 comments :

  1. Replies
    1. wslm, masa saya dahulu unit sukan jabatan pendidikan yang war2kan kepada guru2 sukan & pendidikan jasmani. atau mungkin awak boleh contact pihak BPG untuk tanya samada kursus ni akan diadakan lagi atau tak.. maaf itu sahaja dapat sy bantu..

      Delete