Friday, December 29, 2017

Gunung Datuk & Bukit Batu Putih

Gunung Dauk (850m)
2017 kian melabuhkan tirainya. Dalam tahun 2017 ini juga, saya telah berjaya mendaki 4 buah gunung iaitu Gunung Ledang pada bulan April, Gunung Gua Rimau pada bulan September, Gunung Angsi dan Gunung Datuk pada bulan Disember. Oops! Jangan salah sangka yer.. Saya tidak lah mendaki Gunung Angsi dan Datuk pada hari yang sama. Saya masih belum sampai tahap itu lagi. Suatu hari nanti InsyaAllah.... 

Satu minggu selepas mendaki Gunung Angsi, saya telah merancang bersama teman-teman yang lain untuk mendaki Gunung Datuk. Setelah perbincangan dilakukan akhirnya kami bersetuju untuk mendaki Gunung Datuk pada 24 Disember 2017. Kami memulakan perjalanan dari Kulai pada pukul 4 pagi dan tiba di Hutan Lipur Gunung Datuk pada jam 7.00 pagi. Sesampai sahaja di hutan tersebut, telah bersusun kereta. Saya tak pasti pukul berapa mereka sampai dan mula mendaki. Oh ye, perjalanan kami ke Gunung Datuk hanya berpandukan GPS, jadi jangan lah tanya tentang laluan yer!

Puncak Tertinggi Gunung Datuk
Kami mula mencari pejabat ranjer untuk membeli permit. Tapi tak kelihatan mana-mana bangunan yang telah bersedia untuk menerima tetamu. Akhirnya bosan mencari-cari, kami mula mendaki. Pendakian bermula lebih kurang jam 7.20 pagi. Keadaan laluan pendakian mencanak naik... Laluannya pula penuh dengan akar kayu dan batu. Pagi-pagi lagi dah ramai orang mula mendaki di sini. Keadaan trail tidak lah sesukar mana, tetapi mencanak naik. Jadi perlukan kekuatan mental dan fizikal juga. Bagi yang pertama kali atau jarang mendaki, laluan pendakian ini boleh dikategorikan "medium to hard". Oleh kerana minggu sebelumnya saya telah mendaki Angsi dengan keadaan laluan yang hampir sama saya rasa laluan Datuk lebih mudah. Menurut blog yang saya baca pendakian di Gunung Datuk ini memakan masa 2 jam pendakian. Tetapi Alhamdulillah kurang 2 jam kami dapat sampai ke puncak.

Pemandangan di puncak Gunung Datuk sangat cantik dan mendamaikan. Keindahan alam yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Sampai sahaja di puncak hilang semua keletihan mendaki tadi kerana terlalu asyik dengan keindahan alam kurniaan Tuhan ini. Malangnya masih ada golongan yang tidak bertanggungjawab meninggalkan sampah di sana. Setelah puas bergambar, kami mula turun. Ada orang kata perjalanan turun selalunya akan lebih cepat. Namu begitu, bagi saya masa yang diambil untuk naik dan turun adalah sama malah lebih sukar lagi. Akhirnya jam 11 pagi kami sampai di kaki Gunung Datuk.

Hiking Buddies
Ketika di kaki Gunung Datuk di permulaan pendakian ada satu pondok ranjer untuk permit. Oleh sebab ketika naik tadi kami tidak membeli permit, jadi bila turun ranjer memanggil kami untuk menulis maklumat diri dan membuat bayaran permit sebanyak RM5 seorang. Jadi untuk mereka yang mula mendaki seawal pagi, jangan lupa bawa duit RM5 untuk permit kerana perlu membuat bayaran ketika turun nanti.

Setelah puas berehat, kami membuat bayaran parking sebanyak RM3 dan terus meninggalkan Gunung Datuk untuk bergerak ke Port Dickson. Orang kata, alang-alang dah ada di Negeri Sembilan, mendaki la di Bukit Batu Putih pula. Bukit Batu Putih ni berada di dalam kawasan Tanjung Tuan. Bayaran masuk ke Tanjung Tuan ialah RM1 seorang. Di Tanjung Tuan ini terdapat rumah api, tapi kerana masing-masing dah keletihan kami tak naik pun rumah api tersebut. 

Bukit Batu Putih
Kami mula berjalan mencari laluan ke Bukit Batu Putih. Hanya berpandukan blog yang dibaca, kami mencari laluan tersebut. Kami mendaki pada waktu tengah hari, jadi tiada orang yang mendaki ketika itu kecuali kami berempat. Mula-mula rasa tidak yakin dengan laluan yang kami lalu, tapi tawakkal sahaja dan akhirnya kami tiba di Bukit Batu Putih. Laluannya ok, tidak memerlukan masa yang lama hanya kurang 1 jam bergantung pada individu. Sangat sesuai untuk pemula atau beginner. Kami pergi melalui laluan hutan dan tepi pantai manakala balik kami melalui laluan bertar. 

Walaupun keletihan, kami masih mampu mencabar diri untuk mendaki Bukit Batu Putih. Keesokkan harinya masing-masing jalan kengkang kerana kaki dah rabak. Apa pun, ini adalah kenangan indah yang tak mungkin dapat kami lupakan. Semoga masih diberi nafas dan kesihatan yang baik untuk kembali mendaki Gunung Datuk dan Bukit Batu Putih. Kesimpulannya, Gunung Datuk adalah lokasi yang mesti pergi buat mereka yang minat mendaki untuk melihat  keindahan alam!

Monday, December 18, 2017

Pengalaman Mendaki Gunung Angsi

Pada 16 Disember 2017 yang lalu saya telah mendaki Gunung Angsi yang terletak di Hutan Lipur Ulu Bendul Negeri Sembilan. Ketinggian gunung ini hanyalah 825 meter dari aras laut. Terdapat dua laluan untuk mendaki iaitu samada melalui hutan lipur Ulu Bendul atau Bukit Putus. Untuk mendaki, anda perlu membuat bayaran RM5 di pejabat renjer dan menulis butir diri yang diperlukan.

Asalnya kami  ingin mendaki melalui Hutan Lipur Ulu Bendul dan kemudian turun melalui Bukit Putus. Tetapi disebabkan cuaca pada hari sebelumnya yang hujan kami tidak dibenarkan untuk mendaki melalui hutan lipur. Menurut renjer bertugas, mereka bimbang keselamatan pendaki kerana pendaki perlu merentas sungai dan  mereka bimbang akan kedatangan kepala air. Disebabkan itu, kami akhirnya mendaki melalui Bukit Putus dan turun juga melalui Bukit Putus. 


Untuk pengetahuan semua, laluan mendaki di Ulu Bendul lebih panjang berbanding Bukit Putus. Walaupun begitu, laluan Bukit Putus agak mencabar juga. Ini kerana laluannya mencanak lebih 45 darjah. Permulaan mendaki sahaja sudah mencanak. Rasa saya lebih 30 minit pertama mendaki dengan keadaan laluan yang mencanak naik. Kawan saya pula boleh ajak bersembang ketika mendaki kawasan ini. Terasa seperti hendak meletup jantung. Terasa degupan jantung yang sangat kuat ketika itu. Terpaksa berhenti seketika sebelum meneruskan pendakian. 




Sebelum terlupa, keberadaan pacat di gunung ini ada yer.. Tetapi tak banyak. Dan saya antara yang malang diserang spesis ini. Nasib baik seekor sahaja.  Perjalanan mendaki ke puncak pula dikatakan selama 2 jam. Namun begitu ia bergantung kepada individu itu sendiri. Boleh dikatakan 60% pendakian adalah melalui trail yang mencanak naik. Disebabkan cuaca yang hujan pada hari sebelumnya, laluan untuk mendaki agak licin dan berlumpur. Namun kami bersyukur tiada kecedaraan dialami.  Apa pun satu kepuasan apabila telah sampai ke puncak.

Friday, December 15, 2017

Berjalan-jalan di Pontian, Johor

Pada cuti sekolah bulan Disember ini, dua kali saya ke Pontian bawa keluarga melawat kawasan. Di Pontian destinasi pilihan utama saya ialah yang pertama Taman Negara Pulau Kukup. Untuk ke Taman Negara Pulau Kukup ini, kita perlu menaiki bot dengan tambang RM5 untuk pergi dan balik. Kanak-kanak dan warga emas dapat tambang percuma. Untuk dapatkan perkhidmatan bot ke Pulau Kukup, sampai sahaja di jeti tanya sahaja dengan orang-orang yang berada di pintu jeti tuh. Mereka akan bantu untuk dapatkan bot. Perjalanan balik dari Pulau Kukup bot akan berhenti di sangkar ikan. Jadi anda boleh melihat-melihat ikan dalam sangkar. Kalau nak beli pun boleh.



Bayaran masuk untuk Taman Negara Pulau Kukup hanya RM5.30 untuk dewasa. Untuk pelajar dan warga emas ada diskaun. Menurut papan informasi yang dipaparkan, Taman Negara Pulau Kukup adalah anatara hutan paya bakau terbesar di dunia. Mereka telah menyediakan laluan untuk kita berjalan menikmati hutan paya bakau. Untuk mereka yang suka menikmati keindahan alam saya galakkan anda datang ke sini. Pemandangan yang menghijau dan sangat boleh merehatkan minda. Anda juga wajar naik menara pemerhati yang disediakan kerana pemandangan di situ memang sangat menakjubkan! Oh ye, pastikan anda bukan jenis yang sakitkaki atau sakit lutut kerana agak jauh jugak berjalan mengelilingi hutan paya bakau tersebut.


Gambar di atas menara pemerhati Pulau Kukup
Destinasi kedua pilihan saya ialah Tanjung Piai. Bayaran masuk sama juga RM5.30 untuk dewasa dan diskaun diberikan kepada pelajar dan warga emas. Sebenarnya Tanjung Piai dan Taman Negara Pulau Kukup sama sahaja kerana dua-dua destinasi ini adalah untuk menikmati keindahan hutan paya bakau. Keistimewaan Tanjung Piai adalah kerana kedudukannya yang merupakan sempadan benua asia. Jadi anda boleh mengambil gambar di batu sempadan ini. Kalau dibandingkan, saya lebih suka Taman Negara Pulau Kukup kerana pemandangan lebih indah. Mata pun tak sakit melihat sampah-sampah yang terperangkap di bawah akar pokok bakau. Taman Negara Pulau Kukup lebih bersih dan lebih cantik. Tapi saya tetap akan pergi lagi ke dua-dua tempat ini kerana saya amat gemarkan alam.



Destinasi terakhir pilihan saya ialan gerai cendol durian yang terletak di Pekan Nanas arah ke Johor Bahru. Mereka ada pasang kain rentang bertulis cendol durian yang besar. Saya tak teringat pulak untuk mengambil gambar. Selama ini saya bukanlah orang yang suka makan cendol. Biasanya saya tak boleh nak habiskan semangkuk cendol. Tetapi di gerai ini dua kali makan dua kali bersih mangkuk cendol tuh. hehehehe. Keistimewaan cendol ini semestinya ada durian, santan yang pekat, ada sagu rendang, jagung, kacang merah dan cincau serta cendol itu sendiri. Memang sangat sedap. Semangkuk cendol durian berharga RM7. Kalau ada peluang, saya akan ke sana lagi untuk menikmatinya.