Sunday, December 15, 2019

Jalan-jalan Pantai Timur (Siri 2)

Masjid Terapung

Hari kedua, seawal 7.30 pagi kami daftar keluar homestay dan terus ke Restoran Nasi Dagang Atas Tol. Syukur, walaupun ramai tapi masih tidak terlalu ramai. Akhirnya, kami dapat merasa keenakkan nasi dagang di sini. Setelah bersarapan, kami menuju ke Masjid Tengku Tengah Zaharah atau lebih dikenali sebagai Masiid Terapung di Kuala Ibai. Kemudian kami sempat singgah di Pantai Batu Buruk untuk menikmati pemandangan serta merakam kenangan.


Pantai Batu Buruk
Seterusnya, kami ke ‘Drawbridge’ yang merupakan salah satu mercu tanda yang menjadi kebanggaan rakyat Terengganu. Kami juga berkesempatan melawat galeri di tingkat atas jambatan tersebut dengan bayaran RM5 seorang. Kemudian, kami ke Pasar Payang untuk aktiviti membeli belah. Kini Pasar Payang telah diubahsuai menjadi medan niaga yang lebih teratur dan bersih.





Drawbridge
Tidak ketinggalan, kami juga sempat meluangkan masa di Taman Tamadun Islam. Dengan bayaran sebanyak RM24, kami menaiki bot menyelusuri Sungai Terengganu untuk melihat keindahan Kuala Terengganu. Kami juga mendapat kupon ‘free meal’ yang boleh ditebus di Restoran Beteng selepas menyelusuri Sungai Terengganu. Setelah itu, kami ke Masjid Kristal untuk menunaikan solat zuhur, malangnya masjid tidak dibuka kepada orang ramai kerana kerja-kerja pengubahsuaian dan pemuliharaan.



Masjid Kristal dari atas bot


Sebelum bergerak ke Kuantan, kami singgah di Kampung Losong untuk membeli keropok lekor buat makan-makan di dalam kereta. Kami tiba di Kuantan pada pukul 6.00 petang dan terus daftar masuk homestay dan berehat. Sebelah malamnya kami ke Restoran Ana Ikan Bakar di Tanjung Lumpur untuk makan malam.



Pantai Balok


Hari ketiga pula, kami ke Pantai Balok untuk menikmati keindahan di tepi pantai. Malangnya cuaca kurang baik. Kami hanya duduk sekejap di Pantai Balok dan membuat keputusan untuk melihat penyu di Pusat Konservasi Penyu di Cherating. Malangnya, hanya tinggal anak penyu di dalam akuarium yang sedang nazak. Kesian kami tengokkan. 




Ikan Patin Tempoyak di Kg Bangau

Akhir sekali, kami meronda di persisir Pantai Cherating dan bergerak ke Natural Batik Village di Balok. Setelah puas mencuci mata, keluarga saya berhasrat untuk menamatkan percutian ini dengan bergerak pulang ke Kulai, Johor. Manakala saya dan suami membuat keputusan untuk ke Teluk Cempedak dan meneruskan perjalanan pulang melalui jalan dalam dan singgah di Temerloh untuk merasai keenakkan ikan patin masak tempoyak. Akhirnya, kami tiba di Seremban jam 7.00 malam. Begitulah berakhirnya percutian saya bersama keluarga di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. 


Monday, December 9, 2019

Jalan-jalan Pantai Timur (Siri 1)


Street Art (Duty Free Zone Pengkalan Kubor)
Musim-musim cuti sekolah ni ramai yang merancang percutian bersama keluarga.. Tidak ketinggalan, saya juga telah merancang percutian bersama keluarga ke Pantai Timur. Mulanya kami merancang untuk ke Kuala Krai, Tanah Merah dan Kota Bharu di Kelantan selain Kuala Terengganu dan Kemaman di Terengganu. Namun begitu, pada hujung bulan November yang lalu hujan berlarutan selama beberapa hari di Kelantan hingga menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air. Oleh sebab itu, saya menukar laluan ke Tumpat, Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan. Berikut saya ceritakan secara ringkas perjalanan kami yang mungkin boleh dijadikan panduan kepada sesiapa yang merancang untuk ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia.


Street Art (Duty Free Zone Pengkalan Kubor)

Keluarga saya memulakan perjalanan dari Kulai, Johor ke Seremban sebelum kami bergerak bersama-sama ke Kuala Terengganu. Jadi, pada 2hb Disember 2019 kami memulakan perjalanan ke Kuala Terengganu pada jam 11.30 malam melalui Gombak menaiki Lebuhraya Pantai Timur ke Kuala Terengganu. Kami singgah di Kuala Terengganu kerana berhajat untuk bersarapan pagi di Restoran Nasi Dagang Atas Tol. Malangnya restoran tersebut tidak beroperasi pada hari Selasa. Kami cuba ke Restoran Nasi Dagang Vintage, ye malang sekali tutup juga.. Jadi kami bersarapan di restoran yang ada dan meneruskn perjalanan ke Tumpat, Kelantan.

Pantai Sri Tujuh


Perjalanan ke Tumpat bermula seawal 8.00 pagi melalui jalan pantai. Sepanjang perjalanan, walaupun ada beberapa tempat yang dinaiki air namun kami masih dapat mengharunginya dengan selamat. Sekiranya anda berhajat ke Pantai Timur pada musim banjir ini, eloknya selalulah melihat maklumat terkini di facebook JKR Besut dan Info Banjir Kelantan agar dapat mengetahui status laluan samada dibuka untuk laluan atau ditutup kerana dinaiki air. Ini amat penting bagi memastikan perjalanan anda lancar dan selamat. 




Muzium Wau
Kami tiba di Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor pada pukul 11 pagi. Di sini kami hanya mencuci mata dan bergambar di 'Street Art' sahaja. Aktiviti membeli belah yang dirancang tidak ditunaikan kerana kebanyakkan peniaga di sini enggan mengurangkan harga apabila kami tawar menawar. Alasan mereka ialah disebabkan kadar tukaran matawang yang agak teruk ketika ini. Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Pantai Sri Tujuh. Sebelum itu, kami singgah di restoran yang ada sepanjang perjalanan untuk makan tengah hari. Di Pantai Sri Tujuh juga terdapat Muzium Wau. Yuran masuk muzium hanyalah RM2. Selepas masuk muzium kami ke pusat kraftangan yang ada di hadapan muzium. Di dalam pusat itu juga terdapat 'Tricky Art'. Kami sempat bergambar di 'Tricky Art' tersebut dengan bayaran sebanyak RM2. 


Tricky Art di Pusat Kraft
Setelah itu, kami meneruskan perjalanan ke Kota Bharu untuk daftar masuk homestay dan berehat. Seusai solat maghrib dan isyak kami ke Restoran Mee Scekok untuk merasa mee celup yang viral baru-baru ini di twitter dan facebook. Seterusnya, kami ke Wakaf Che Yeh untuk aktiviti membeli belah. Kami akhirnya pulang ke homestay pada pukul 11 malam. Hari ini adalah hari yang amat memenatkan kerana hampir 24 jam kami tidak tidur. Namun begitu, kami tetap berasa genbira.

Nampaknya entry kali ini dah agak panjang. Oleh itu, saya berhenti di sini dan akan bersambung pada siri yang kedua. Nantikan ya!