Tuesday, March 27, 2018

Percutian di YOGYAKARTA (Mac 2018) Bahagian 1


Hye reader!! (Ermmm ada yang baca ke?).. Entry kali ini saya ingin berkongsi pengalaman bercuti di Yogyakarta, Indonesia pada cuti sekolah yang lalu. Untuk trip kali ini, saya hanya pergi berdua sahaja selama seminggu. Yup, memang agak lama sampai kami kebosanan dan rasa tidak sabar hendak pulang ke tanah air. Menurut pandangan saya, 4 atau 5 hari sudah cukup untuk berjalan di Yogyakarta. Ok jom kita lihat aktiviti saya selama seminggu di Yogyakarta.

Untuk hari pertama, flight dari KL waktu tengahari, jadi sampai sana pun dah petang ditambah lagi dengan kelewatan penerbangan bertambah lah lewat petang kami sampai. Seingat saya sampai-sampai dah maghrib. Jadi hari pertama kami check in Pop Hotel, cari makan malam di kawasan sekitar dan berjalan-jalan di Malioboro Street. Malam-malam di Malioboro street memang havoc sebab ramai sangat orang. Hari pertama ni kami cuma survey-survey apa yang menarik jer.

Pantai Timang
Hari kedua pula, kami ke Pantai Timang. Pemandangan sangat indah dan menenangkan. Sempat juga kami mencuba menaiki gondola. Ikutkan hati, rasa ingin duduk sepanjang hari di Pantai Timang, tetapi disebabkan keadaan cuaca yang panas terik terpaksalah beransur ke destinasi seterusnya. Pulang dari Pantai Timang kami menikmati hidangan udang kara.
Goa Pindul
Apabila sikap tamak menguasai diri, kami memilih saiz udang kara yang paling besar dengan beberapa hidangan tambahan. Akibatnya kami kekenyangan yang amat. Setelah itu, kami bergerak ke Goa Pindul dan Sungai Oya. Saya sangat galakkan anda ke sini, anda pasti tidak menyesal. Di Goa Pindul kami menyelusuri sungai untuk memasuki gua manakala di Sungai Oya kami meredah jeram. Dalam perjalanan pulang pula kami singgah di Bukit Pingger dan Bukit Bintang untuk mengambil gambar sebagai kenang-kenangan.

Hari ketiga kami ke Kalibiru. Di Kalibiru ini terdapat beberapa spot untuk bergambar dengan berlatar belakangkan keindahan alam di Yogyakarta. Terdapat juga "skytrex" di sini. Sempat juga saya mencubanya, Seterusnya kami ke Pantai Parangtritis dan Gumuk Pasir. Oleh sebab tiada aktiviti yang best sangat di sini, kami sewa ATV dan meronda sepanjang pantai sambil menikmati keindahan alam. Gumuk Pasir adalah sebuah kawasan seperti padang pasir. Rasa tidak sanggup berada lama di sini kerana pasirnya yang halus masuk ke dalam mata. Selain itu, keadaan cuaca yang panas terik juga membuatkan kami tidak selesa untuk berada lama di sini. Disebabkan masih terlalu awal untuk pulang ke hotel, kami sempat singgah ke Malioboro untuk mencuci mata dan poket.


Jurang Tembelan
Seterusnya, hari keempat kami ke Jurang Tembelan, Rumah Hobbit, Hutan Pinus, Pintoe Langit dan Puncak Becici. Semua destinasi tersebut untuk aktiviti yang sama iaitu aktiviti berjalan menyelusuri hutan, menikmati keindahan alam dan bergambar. Setiap destinasi tersebut mempunyai spot bergambar, tetapi kami sudah kepenatan  dan kebosanan sehingga hilang rasa untuk bergambar. Jadi kami hanya menikmati keindahan alam sambil menikmati snek Yogyakarta yang dibeli semalam.

Ok, rasanya entry ini dah agak panjang,  mata pun dah mengantuk, kita sambung entry ini untuk bahagian yang kedua yer.. Selamat malam.. jom tidur... Zzzzzzzzzzzz... 

p/s: Banyak sangat gambar kami di sana, namun di ruangan yang terhad tak dapat nak kongsi semua. Nikmatilah apa yang ada tu yer.. Selamat membaca!

p/s: Sambungannya di sini Percutian di YOGYAKARTA (Mac 2018) Bahagian 2

No comments :

Post a Comment